
D'sore dibangunkan oleh seorang wanita. Ruzita Ahmad bukanlah satu (1) nama asing dalam dunia perniagaan bumiputera. Beliau mula berkecimpung dalam bidang perniagaan apabila menubuhkan sebuah butik yang menggunakan jenama Eitaa’s Collection sebagai labelnya. Butik ini bukan sahaja menawarkan busana siap dipakai bahkan menerima tempahan busana untuk individu mahupun korporat. Eitaa’s Collection juga terlibat secara langsung dalam pengurusan acara khususnya pengurusan majlis perkahwinan, penyewaan dan penempahan busana pengantin, aksesori serta lain-lain. Selanjutnya wanita berkelulusan Ascortt College dalam bidang Art & Design ini terus melangkah yakin dengan melahirkan sebuah syarikat rekaan dalaman dan pembinaan iaitu Yecasa Decor Sdn Bhd. Ketelitian, kreativiti dan nilai seni yang tinggi telah beliau salurkan menerusi hiasan dalaman dan pengubahsuaian di beberapa buah organisasi ternama di Malaysia antaranya Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Universiti Putra Malaysia, MIMOS dan lain-lain. Meskipun mempunyai pengalaman yang agak luas, Ruzita aktif menghadiri kursus-kursus berkaitan dengan pengurusan perniagaan dan pengendalian restoran anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Menyedari minat beliau mula bercambah ke arah industri penyediaan dan penyajian makanan, lahirlah D’sore bermula tahun 2002. Sedari itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Ternyata D’sore kini merupakan antara pemain industri yang berjaya di Malaysia khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan. Jenama yang pada mulanya beroperasi di Lobi Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor ini telah melebarkan sayap dengan munculnya beberapa buah cawangan malah menjadi antara jenama pilihan untuk pelbagai acara mega selain pengurus acara yang disegani.